Saturday, March 14, 2015

Hadis berkaitan Habbatussauda'.

Bismillah.

S36: Berkenaan Hadis tentang habbatussauda'.. Pernah terdengar yang kebaikan habbatus sauda' ini nabi hnya tujukan kpda kaum arab yg hdup dlm iklim panas.. Sejauh manakah prnyataan ini.. Dan jika ada jenis Hadis yg nabi tujukan kpd ssuatu kaum atau etc, bgaimana ingin mgenali Hadis begini?

J36: Hadith berkaitan kelabihan habbatus sauda’ sebagai penyembuh segala penyakit kecuali mati adalah hadith Sahih. Namun kenapa wujud mereka yang memakan habbatus sauda’ tetapi penyakitnya tidak sembuh?

Jawabnya, keberkesanan habbatus sauda’ adalah dengan berkat pengkhususan doa Nabi SAW, namun kesembuhan itu terletak atas izin Allah SWT, habbatus sauda’ hanya ikhtiar saja, jika Allah izin sembuh maka sembuh, jika tidak maka tidaklah sembuh.

Satu perkara penting yang perlu difahami, hadith ini juga tidak sama sekali bermaksud habbatus sauda’ sahajalah ubat di dunia ini, sebaliknya kenyataan Nabi SAW itu bermaksud habbatus sauda’ adalah ubat yang mengandungi manfaat yang umum, bukan khusus bagi satu jenis penyakit, ini kerana bangsa arab biasa menggunakannya untuk pelbagai penyakit. Hal ini dapat difahami dengan melihat hadith Sahih lain yang menyebut maksudnya:

“Tidaklah Allah menurunkan satu penyakit kecuali diturunkan juga baginya ubatnya, diketahui oleh mereka yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh mereka yang tidak mengetahuinya kecuali al-Sam
Ditanya: Apakah itu al-Sam? Baginda menjawab: mati”

Hadith ini menjelaskan bahawa setiap penyakit yang wujud Allah telah sediakan ubatnya, untuk mengetahui apakah ubat bagi sesuatu jenis penyakit itu seseorang perlu melakukan kajian dan eksperimen, kerana ubat bagi sesuatu penyakit itu hanya akan diketahui oleh mereka yang ingin mengetahuinya dan tidak akan diketahui oleh mereka yang enggan. Hadith ini juga menunjukkan bahawa habbatus sauda’ bukanlah ubat bagi semua penyakit secara mutlak, kerana jika itu adalah kesnya, pasti akan disebut: “Tidaklah Allah menurunkan satu penyakit melainkan habbatus sauda’ adalah ubat baginya”.

Selain itu, jika kita melihat kepada hadith-hadith Sahih akan kita dapati Nabi SAW biasa menganjurkan pelbagai jenis ubat untuk penyakit yang berbeza-beza, bahkan ketika Baginda SAW sakit beliau turut menerima rawatan daripada doktor-doktor Yahudi, dan ia bukan dengan habbatus sauda’. Allah Maha Mengetahui.

No comments:

Post a Comment